Kasi Tembak

Pages

Sabtu, 20 Oktober 2012

Bantut bukan genetik

Bantut adalah masalah tumbesaran yang tidak normal akibat daripada cara pengambilan nutrien yang tidak seimbang
ADAKAH anak anda dalam kategori bantut? Cuba lihat keadaan fizikal mereka, adakah mempunyai saiz yang sama dengan kanak-kanak seusia mereka?

Anda juga pasti akur jika genetik anda adalah bersaiz kecil dan rendah, mungkin juga anda menganggap ketinggian dan berat anak-anak yang rendah dan kurus adalah satu perkara normal.

Cara paling mudah untuk mengetahui tahap tumbesaran anak ialah dengan memantau secara berkala. Contohnya, dalam enam bulan sekali dengan pengiraan menggunakan indeks jisim tubuh (Body Mass Index, BMI) sebagaimana orang dewasa.

Kemudian bandingkan hasil BMI anak anda dengan keluk tumbesaran global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menentukan sama ada mereka mengalami masalah ini atau tidak.
Bantut adalah masalah tumbesaran yang tidak normal akibat daripada cara pengambilan nutrien yang tidak seimbang dalam diet seharian.

Buang mitos genetik merupakan faktor saiz seseorang.

Menurut penyelidik dari Universiti Perubatan Antarabangsa Kuala Lumpur, Prof. Dr. Khor Geok Lin, kadar pertumbuhan bagi setiap kanak-kanak adalah sama.

Katanya, jika kanak-kanak diberi nutrien yang cukup dan seimbang, proses tumbesaran menjadi normal seperti kanak-kanak lain.

"Kajian mendapati kira-kira 30 peratus kanak-kanak diklasifikasikan sebagai terbantut adalah juga diklasifikasikan sebagai obes atau mempunyai berat badan berlebihan.

"Kesan pengambilan diet yang tidak sesuai adalah antara punca berlaku masalah terbantut ditambah dengan masalah obesiti ini dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata pada seminar mengenai Pengambilan Makanan Terkini bagi Kanak-Kanak dan Kesannya pada Garis Panduan Masa Hadapan dan Tindakan di Kuala Lumpur baru-baru ini

Beliau merupakan salah seorang daripada empat penyelidik yang menghasilkan Kajian NutriPlanet, Dosir Saintifik, iaitu kajian mengenai status pemakanan kanak-kanak Malaysia berumur antara satu hingga 10 tahun.

Kajian diambil daripada analisis tulisan serta temu ramah dengan pakar kesihatan dan pakar berkepentingan telah dijalankan.

Kajian memfokuskan kanak-kanak di sekitar Lembah Klang, meneliti dari segi kelas sosioekonomi dan kaum yang berlainan mengikut taburan penduduk.

Menurut Dr. Khor, kajian mendedahkan bahawa terdapat 14.4 peratus kanak-kanak mengalami masalah pertumbuhan dimana mereka tidak mencapai ketinggian normal.

Dalam pada itu seorang lagi penyelidik Prof. Dr. Zalilah Shariff, dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, hasil kajian turut menunjukkan masalah tumbesaran terbantut terus meluas dan ia paling menonjol pada usia dua tahun.

Katanya, angka tersebut lebih ketara pada kanak-kanak dalam kelas sosioekonomi paling rendah dan kerap berlaku dalam kalangan penduduk Melayu.

"Melalui kajian yang dijalankan kami dapati pemakanan dan pengambilan nutrisi di kalangan kanak-kanak Malaysia masih mempunyai masalah terutama dalam pengambilan diet yang tidak seimbang.
"Secara umumnya kebanyakan kanak-kanak telah mendapat tenaga dan nutrien yang mencukupi dari bahan-bahan keperluan bagi kanak-kanak, namun masih terdapat masalah dalam pengambilan fiber dan kalsium," katanya.

Selain itu menurut Dr. Zalilah, terdapat kadar pengambilan sesetengah nutrien yang melebihi daripada saranan pakar pemakanan contohnya gula dan karbohidrat.
Seperti yang telah disarankan oleh pakar pemakanan di seluruh dunia, diet berdasarkan piramid makanan adalah pengambilan terbaik untuk kanak-kanak.

"Hakikatnya, ibu bapa masih lagi dapat mengawal cara pemakanan anak-anak yang berusia enam tahun ke bawah tetapi pada usia yang semakin meningkat kanak-kanak lebih dipengaruhi dengan persekitaran sekeliling mengakibatkan mereka telah mula mengambil makanan ringan.

"Di sini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi cara pemakanan dan nutrisi anak-anak," katanya.

Dr. Zalilah berkata, banyak ibu bapa yang begitu yakin dengan nutirisi pemakanan yang telah diberikan kepada anak-anak mereka.
Beliau percaya corak pemakanan anak-anak sebenarnya ditentu daripada apa yang mereka belajar dan lihat setiap hari.

"Pemakanan yang sihat perlulah di dedahkan sekerap yang mungkin dan i ibu bapa perlu menunjukkan contoh kepada anak-anak dengan turut mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Pastikan bekalan makanan yang sihat dan seimbang sentiasa berada di rumah dan menjadi amalan dan kegemaran seisi keluarga," katanya.

0 on: "Bantut bukan genetik"