Dr, apakah cara yang terbaik menurunkan berat
badan. Saya juga ingin bertanya, benarkah berat badan seorang ibu akan
turun apabila menyusukan anak dan akan bertambah selepas berhenti
menyusukan anak?
n Nor, Shah Alam
Jawapan
Soalan yang diutarakan amat praktikal sekali. Masalah berat badan ini
amat sensitif dalam kalangan wanita. Saya tahu ramai wanita di luar
sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup
membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini.
Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap
agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat
hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus. Bukan
tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih
baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali dua, berat badan
susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan
saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi nak berdiet
berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan
pengeluaran susu atau membahayakan bayi.
Kesabaran
Menurunkan berat badan bagi ibu-ibu
yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia
memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses
menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara
perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang
diberi kepada bayi.
Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan
bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih
mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan
anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori
setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga
pemakanan.
Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin
menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air
secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk
mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya
hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk
makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat
Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik
sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang
kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa
sejam selepas bangun tidur.
Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan.
Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk
mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat
kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak
sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan
percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah
terlebih makan.
Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai
orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi.
Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim
(enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan
makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai
nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa
kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting
dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar
dan berkumpul secara berlebihan.
Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan
pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada
nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit
diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan
rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu
makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi
(darah tinggi).
Aktiviti fizikalBanyakkan aktiviti fizikal. Saya
pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti
fizikal. Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau
senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti
senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali seminggu adalah sangat
digalakkan.
Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam,
eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk
sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan
tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan
banyak menggunakan tangga daripada lif.
Puan juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar
kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram
sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak
lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.
Sabtu, 20 Oktober 2012
Menyusukan bayi bantu kuruskan badan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 on: "Menyusukan bayi bantu kuruskan badan"