Kasi Tembak

Pages

Isnin, 19 Ogos 2013

Mitos Mengenai Keputihan

- Tiada ulasan
"Orang perempuan tidak boleh makan nanas atau timun banyak-banyak, nanti keputihan." Benarkah begitu? 

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Andalas Padang, Dr. Yusrawati yang juga Pakar Sakit Puan, secara tegas menolak mitos itu.  Menurut beliau, tiada sebarang buah-buahan yang menyebabkan keputihan.  Semua buah-buahan berfungsi menjaga kesihatan tubuh, termasuk kesihatan organ intim wanita, jantung dan kulit. 

Bahkan tegas beliau, buah-buahan termasuk nanas mahu pun pisang perlu dimakan agar tubuh dapat menahan kulat atau keputihan. "Sebaliknya, kurang makan buah-buahan boleh menimbulkan keputihan. Sebabnya, daya tahan tubuh akan merosot sekali gus memudahkan kulat tumbuh," jelas doktor pakar obstetrik dan ginekologi itu.

Justeru, Dr. Yusrawati mengesyorkan agar setiap wanita mengamalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran.  Katanya, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimakan haruslah pelbagai jenis dan mencukupi. Namun oleh kerana nanas bersifat asid, beliau menasihatkan agar memastikan perut selesa untuk menerimanya. Silap-silap perut akan memulas. 

"Tiada hubungan antara makan nanas dengan keputihan," tegas doktor yang berlatar belakang pendidikan di Fakulti Perubatan Universiti Andalas dan Universiti Indonesia itu. 

Jadi bagaimanakah terjadinya keputihan? 

Menurut Dr. Yusrawati, pencetus keputihan ialah sistem imun yang lemah. Keputihan juga boleh berlaku berikutan keadaan faraj atau organ intim yang sentiasa lembap. 

Sistem imun atau daya tahan tubuh menjadi lemah akibat kurang makan makanan yang mengandungi antioksida. Sedangkan, zat antioksida banyak terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. "Jadi, adalah amat penting untuk makan buah-buahan," kata beliau. 

Sebenarnya, keputihan adalah perkara biasa yang dialami oleh wanita. Yang perlu diketahui ialah sama ada keputihan yang dialami itu dalam katagori normal atau pun tidak? Keputihan yang banyak masih boleh dianggap normal jika ia berlaku sebelum atau sesudah haid, atau ketika hormon meningkat. 

"Keputihan yang normal ialah yang tidak berwarna iaitu seperti putih telur mentah, tidak berbau dan tiada rasa gatal," jelasn Dr. Yusrawati. 

Keputihan tidak normal boleh dikenal pasti daripada warnanya yang kekuningan atau kehijauan, lendirnya lebih kental, menggelembung, berbau dan gatal. Jika keputihan tidak lagi normal, sebaik-baiknya segeralah berjumpa doktor.  Jika dibiarkan, keadaan akan menjadi lebih serius. 

Jelas Dr. Yusrawati, apabila keputihan tidak normal dikesan, bermakna telah berlaku jangkitan di dalam faraj yang akan mengubah pH-nya (tahap keasidan) menjadi alkali. Flora normal terdapat di dalam faraj atau organ intim wanita. Apabila ada yang tidak normal, maka tahap keasidan faraj akan berubah. Flora-flora yang tidak normal akan tumbuh dan akhirnya menjadi jangkitan. 

Menurut beliau lagi, jangkitan tidak hanya berlaku di faraj tetapi boleh menular hingga ke pangkal rahim, tiub fallopian dan akan membentuk tompokan yang boleh mengakibatkan jangkitan pada rahim.  Dan keadaan itu boleh menjejaskan organ pembiakan. 

"Bagi mereka yang belum mempunyai anak, jangkitan pada organ pembiakan akan menyukarkan lagi usaha mereka untuk mendapatkan keturunan," katanya. 

Jangkitan yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mencetuskan kanser rahim. Perubahan pH faraj membolehkan virus menyerang. Virus daripada kategori Human Papilloma (HPV), akan mengakibatkan kanser. 

Justeru, setiap wanita perlu menjaga kebersihan faraj dengan baik.Berikut beberapa cadangan Dr. Yusrawati dalam memastikan faraj tetap bersih dan sihat: 

- Menjalani gaya hidup sihat. 
- Memastikan faraj sentiasa kering dan tidak terlalu lembap. 
- Sering menukar pakaian dalam, lebih-lebih lagi jika seluar dalam lembap/basah. 
- Jangan pakai pakaian dalam daripada nilon atau bahan yang akan membuatkan faraj lembap. 
- Elakkan daripada memakai seluar yang terlalu ketat seperti legging yang akan menghalang peredaran udara dan menyukarkan organ intim ‘bernafas’. 
- Jangan gunakan pantyliner berpewangi. Pewangi boleh membunuh flora-flora normal di dalam faraj dan berubah menjadi flora tidak normal. 
- Hindari daripada menggunakan penggunaan sabun pencuci faraj yang mengandungi antiseptik. Antiseptik membunuh segala jenis kuman, termasuk kuman normal yang ada di dalam faraj.Flora normal diperlukan untuk mengekalkan pH faraj dan ia boleh musnah akibat penggunaan antiseptik. Cara paling selamat untuk membersihkan faraj ialah dengan menggunakan air bersih.