Kasi Tembak

Pages

Selasa, 10 April 2012

Rawatan Mandul Lelaki

Ramai lelaki mandul tidak tahu yang mereka mandul. Disebabkan ego atau sememangnya tidak mahu ambil tahu, ramai lelaki didapati jahil mengenai isu kesuburan mereka. Bagi ramai lelaki, asalkan boleh bersetubuh, itu petanda mereka subur. Ada juga yang berkahwin lagi dengan alasan isteri tidak boleh hamil, sedangkan diri sendiri sebenarnya mandul, bukan isteri.
Masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki ialah kegagalan melakukan seks penetratif dan kemampuan ejakulasi. Tanpa ejakulasi, air mani tidak dapat masuk ke dalam faraj dan sperma tidak dapat bertemu telur.
Jika ada ejakulasi, faktor yang perlu diambil kira ialah air mani mengandungi sperma, bilangan sperma mencukupi dan sperma aktif serta berbentuk normal.
Jika seseorang lelaki itu mempunyai bilangan sperma yang kurang, itu petanda masalah kepada kilang spermanya.
Yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan buah zakar dan mengukurnya dengan alat pengukur yang dikenali sebagai orkodometer untuk menyukat isi padu buah zakar kerana jika saiz kurang daripada 10 mililiter (mm), kemungkinan kilang tidak aktif.
Selain itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti jika salur ven berpintal atau varikosel yang boleh menyebabkan kilang terdedah kepada kepanasan dan bahan toksik akibat kemendapan darah.
Rawatannya ialah dengan mengikat salur ven yang berpintal. Jika isi padu buah zakar normal, ujian susulan, termasuk ujian hormon kesuburan, perlu dilakukan.
Jika hormon kesuburan rendah atau rendah tapi dalam lingkungan normal, ubat penyubur boleh diberi dan tiga bulan kemudian ujian air mani diulangi untuk mengenal pasti keberkesanan rawatan dengan ubat penyubur.
Selain ubat penyubur, rawatan alternatif dengan herba tertentu boleh dicuba jika didapati tiada sebab kenapa sperma kurang dan kualiti sperma tidak sempurna.

0 on: "Rawatan Mandul Lelaki"