Kasi Tembak

Pages

Selasa, 10 April 2012

Lambat Dapat Zuriat - Adakah Mandul?

Saya berusia 29 tahun dan mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan namun masih belum ada tanda hamil.
Saya mengalami masalah angin yang banyak dalam badan terutama pada ulu hati dan perut tetapi sukar untuk mengeluarkan angin itu. Adakah masalah angin terlalu banyak di dalam badan menyebabkan saya sukar mendapat zuriat?
Selepas bersama suami, air maninya keluar dan kadangkala ada darah berwarna coklat keluar. Apakah yang harus saya lakukan?
IRA,
Seksyen 6, Shah Alam, Selangor.
Jawapan
Belum hamil dalam usia perkahwinan seperti puan bukanlah bermakna puan mempunyai masalah kesuburan. Peluang sesuatu pasangan untuk hamil dalam mana-mana bulan hanyalah 15 hingga 20 peratus saja, bukannya 100 peratus. Ini bermakna, setiap bulan, hanya 15 hingga 20 daripada 100 pasangan saja yang berjaya hamil.
Setelah enam bulan mencuba, 75 daripada 100 pasangan didapati berjaya hamil, manakala selebihnya masih belum hamil. Namun setelah setahun mencuba, keseluruhannya meningkat kepada 85 hingga 93 pasangan yang berjaya hamil dan hanya tujuh hingga 15 pasangan saja yang masih gagal hamil.
Bagi pasangan yang belum hamil ini, peluang seterusnya untuk hamil sendirinya hanyalah sekitar empat peratus saja. Memandangkan peluang hamil masih tinggi pada setahun pertama mencuba, kebanyakan doktor lazimnya menasihatkan agar tidak tergesa-gesa mendapatkan rawatan kesuburan kerana ia sebenarnya mungkin tidak perlu untuk pasangan terbabit.
Ujian dan rawatan berkenaan bukan saja memerlukan perbelanjaan, malah masa untuk temu janji yang tidak tetap tetapi lebih bergantung kepada hari kitaran haid wanita.
Dalam keadaan tertentu misalnya sudah pun diketahui mempunyai penyakit berkaitan kesuburan seperti penyakit peradangan pelvis, endometriosis ataupun jika usia wanita mencecah 35 tahun ke atas, tidak perlu menunggu selama ini. Malah mereka digalakkan memulakan rawatan kesuburan setelah enam bulan mencuba.
Bagaimanapun, anda dan suami masih boleh terus berjumpa doktor tanpa menunggu lagi untuk memulakan penyiasatan awal. Anda mungkin hamil dengan sendirinya dalam tempoh pemeriksaan terbabit
Lazimnya, penyakit berkaitan kesuburan tidak menyebabkan masalah angin dan sakit ulu hati sebagai masalah utama. Anda boleh berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah itu walaupun ia tidak berkait dengan kesuburan.
Seeloknya, berjumpa doktor pakar sakit puan anda untuk mendapat kaunseling lanjut mengenai peluang kehamilan secara amnya. Anda juga boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara am dan boleh memilih untuk menjalani pemeriksaan kesuburan asas.
Pemeriksaan pintu rahim (serviks) menggunakan alat spekulum dan ujian pap smear juga mungkin turut dilakukan, terutama memandangkan anda mengalami pendarahan selepas hubungan seks, ini tiada kaitan dengan kesuburan namun penting untuk diperiksa.
Perlu difahami, faraj bukanlah anggota yang mempunyai bentuk atau alat penyokong sehingga dapat menampung semua air mani yang masuk ke dalamnya. Faraj berada dalam keadaan bertaup dan pipih pada keadaan biasa. Hanya dengan kemasukan zakar atau alat lain, faraj membuka dan memberi ruang kepada kemasukan alat terbabit, kemudian mencengkamnya.
Setelah zakar dikeluarkan (ataupun setelah zakar mengendur semula), bukaan faraj kembali kepada keadaan asalnya iaitu hendak bertaup semula dan menyebabkan apa-apa yang terperangkap di antaranya seperti air mani atau angin boleh terkeluar semula.
Wanita tidak memerlukan air mani yang banyak bertakung di dalam faraj untuk hamil. Yang lebih penting adalah bilangan dan kualiti sperma yang terkandung di dalam baki air mani yang tinggal di dalam faraj.
Selain itu, bukan air mani yang sepatutnya masuk ke dalam ruang rahim menuju ke dalam tiub falopio untuk mensenyawakan telur, tetapi hanyalah sperma yang berenang menembusi mukus serviks dan terus ke dalam tiub falopio melalui ruang rahim.

0 on: "Lambat Dapat Zuriat - Adakah Mandul?"