DOKTOR, saya sudah berkahwin selama satu setengah tahun namun masih belum ada zuriat. Saya berumur 25 tahun dan isteri usia 30 tahun dan kini menetap di Pulau Mutiara. Isteri saya mengalami masalah kitaran haid. Perkara ini berlaku sejak remaja. Kami sudah berjumpa dengan doktor di klinik bagi mendengar cadangan dan mungkin jalan penyelesaian bagi masalah kami ini.
Keadaan fizikal isteri saya semakin bertambah dan sering tertekan apabila ditegur akan berat badan yang meningkat. Berikutan umurnya yang melebihi umur saya, dia sering merasa tertekan dengan keadaan ini dan saya sentiasa memberi sokongan, namun sukar diterima dengan baik.
Saya ada membuat beberapa pencarian mengenai masalah ini, mungkinkah isteri saya menghidap Polycystic ovary (PCOS) atau kami hanya perlu menunggu seperti yang dicadangkan oleh doktor klinik yang saya temui itu iaitu selama dua tahun dan kemudian membuat rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang?
JAWAPAN
ASSALAMUALAIKUM saudara Hadi,
Obesiti-Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) atau Permasalahan Haid-Ketidaksuburan adalah satu putaran roda yang berkait rapat antara satu sama lain. Ini bermakna jika seseorang mempunyai masalah seperti haid atau ketidaksuburan mestilah memutuskan rantaian roda ini. Jika tidak masalah berkaitan obesiti, PCOS, haid dan ketidaksuburan akan menjadi semakin kronik dan sukar dikawal atau diubati.
Dari sini, kita lihat punca utamanya adalah obesiti dan obesiti ini akan menyebabkan PCOS. PCOS menyebabkan haid tidak menentu atau berhenti dan ia pula menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengandung.
Obesiti adalah keadaan apabila BMI seseorang itu melebihi 25. Bacaan BMI melebihi 30 adalah dalam kategori terlalu obes. Seperti saudara sudah jelas, isteri saudara mempunyai masalah berat badan yang saya rasa serius kerana haid beliau sudah terputus.
Bagi menurunkan berat badan, secara lazimnya ia boleh dilakukan dengan melakukan aktiviti yang mengikut kemampuan seperti senaman. Saya fikir jika sukar, saudara boleh minta bantuan pakar pemakanan dan pakar kecergasan. Penggunaan ubat anti gemuk merbahaya dari segi kesihatan.
Sasaran penurunan BMI adalah di bawah 25. Jika sukar, turunkan berat badan 10 peratus saja dari berat badan sekarang. Jikalau haid tidak juga normal, turunkan lagi 10 peratus sehingga haid kembali normal. Secara automatik kesuburan akan meningkat dengan penurunan berat badan.
Banyak kajian menunjukkan kaitan rapat berat badan dengan kesuburan seseorang. Pertambahan lemak sama ada di bawah kulit atau dalam perut menyebabkan kenaikan paras hormon estrogen dan ini akan mengganggu ovulasi dari berlaku. Wanita yang sukar hamil selalunya mengalami PCOS akibat dari masalah obesiti dan haid.
Sekiranya wanita obes mengandung, mereka akan mempunyai banyak risiko seperti darah tinggi, diabetes, keguguran, bayi akan meninggal dalam perut dan kecacatan. Dari segi kesihatan pula mereka juga dikaitkan dengan risiko tinggi untuk kanser payudara, rahim, diabetes dan penyakit kardiovaskular.
Punca PCOS tidak diketahui dengan jelas tetapi beberapa faktor sudah diimplikasikan genetik, kekebalan pada insulin, paras hormon androgen yang tinggi dari ovari dan obesiti. Diantara 35 hingga 60 peratus wanita yang mengalami PCOS mempunyai BMI melebihi 30.
Kesan kesihatan jangka panjang bagi mereka yang mengalami PCOS adalah diabetes, penyakit berkaitan jantung, kadar kolesterol tinggi dalam darah dan kanser rahim. Saya cadangkan saudara berjumpa dengan pakar kesuburan di Pulau Pinang dalam tahun ini juga kerana saudara tidak perlu tunggu dua tahun seperti yang disaran kerana isteri saudara mempunyai masalah haid. Jika ada masalah PCOS, ia boleh dirawat secepat mungkin. Keduanya, juga paling penting mengurangkan BMI isteri saudara.
Saya fikir saudara perlu bersama isteri dalam memantau diet dan senaman. Bagi penyiasatan ketidaksuburan ini selain dari masalah ovari, kita juga perlu
melihat saluran peranakan dan sperma suami, ini semua akan dibincangkan oleh doktor saudara.
Semoga berjaya!
0 on: "Teringin anak"