Malaysia berusaha mengadaptasi gaya hidup hijau, tidak hanya untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup, malah untuk memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
Berdasarkan latar belakang ini, semua rakyat Malaysia perlu memain peranan mereka untuk memastikan kejayaan pembangunan teknologi hijau (TH) yang bertujuan untuk mengurangkan pembebasan karbon dan melindungi alam sekitar.
Malaysia secara sukarela memberi komitmen untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon sehingga 40 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar menjelang tahun 2020.
Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan pada Jumaat, Malaysia sangat serius mempromosikan teknologi hijau dalam negeri untuk memastikan pembangunan yang berterusan dan mengurangkan impak perubahan iklim dengan mengurangkan pemanasan global.
Untuk itu, kerajaan juga telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau berjumlah RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar dan pengguna TH, pembeli hartanah yang dianugerahkan sijil Indeks Bangunan Hijau (IBH), layak mendapat pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik.
Cyberjaya dan Putrajaya pula telah dibangunkan sebagai bandar-bandar perinits teknologi hijau.
Kementerian berkata kerajaan juga memperkenal rangka kerja Kesedaran, Fakulti, Kewangan, Infrastruktur, Penyelidikan dan Pemasaran di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, untuk membangunkan satu ekosistem yang komprehensif untuk kemapanan alam sekitar.
Di peringkat kementerian pula, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi akan mempromosi dan menyemai kesedaran di kalangan pelajar.
Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelancongan akan menerapkan kursus TH dalam program latihan kemahiran mereka.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membangunkan pelan hala tuju infrastruktur bagi penggunaan kenderaan elektrik bermula dengan satu projek perintis di Putrajaya.
-- BERNAMA
AMALKAN HIDUP HIJAU UNTUK GENERASI AKAN DATANG !! [klik sekarang]
0 on: "Cara Hidup Hijau Penting Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi"