Kasi Tembak

Pages

Sabtu, 15 September 2012

Murung ketika hamil


pix_gal0
ZALINA seorang ibu berkerjaya tidak pernah tahu apa itu gangguan emosi pasca kehamilan kerana tidak pernah melaluinya ketika kehamilan pertama. 

Tuntutan kehidupan berubah mengikut masa. Begitu juga dengan pertambahan ahli baru dalam keluarga. 
Selepas melahirkan anak kedua, Zalina berdepan masalah dari segi penjagaan bayi dan juga pengurusan dirinya. Kelahiran melalui pembedahan perlu mendapat penjagaan yang rapi dan secukupnya, namun Zalina terpaksa menjaga dirinya sendiri termasuk anak pertama selain terpaksa menguruskan kewangan keluarga memandangkan suami walaupun bekerja berpendapatan jauh lebih rendah darinya. Ibu terlalu jauh, ibu mentua pula sudah lama meninggal dunia. Jadi Zalina terpaksa mencari jalan sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Menyiapkan air mandi untuk dirinya, memandikan anaknya, memasak dan juga sambil itu mengasuh anak sulungnya yang baru berusia tiga tahun. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya sewaktu dalam pantang. Sikap suami yang terlalu bergantung padanya juga tidak banyak membantu. Mana tidaknya, kadangkala hendak beli susu anak pun dia terpaksa ikut dalam keadaan itu. 


Sikap Zalina yang memendam perasaan lama-kelamaan meninggalkan kesan pada dirinya. Dia akan berasa sayu setiap kali senja tiba dan kadangkala mudah menangis. 

Dia berasa sangat keseorangan, selain menganggap diri seperti perempuan dan ibu yang tidak berguna. Beberapa minggu keadaan itu berlarutan dia mula tidak menunjukkan minat pada bayi perempuannya. Suami tidak menyedari kerana sibuk berulang-alik ke tempat kerja yang jauh dari Kuala Lumpur.

Cerita Zalina, ketika ditinggalkan sendirian di rumah, dia pernah terbayang merendam bayinya di dalam besen mandian. 
Dia juga pernah terlintas untuk mencampak bayinya dari tingkat empat pangsapuri yang didiami namun bersyukur kerana cepat tersedar dan memperbanyakkan beristighfar, selawat dan berzikir. 

Sejak mengalami perubahan emosi itu, dia sedar dirinya perlukan bantuan, lantas mengambil inisiatif membuat kajian dan cuba memahami lebih lanjut apakah keadaan yang dialaminya itu. 

Ternyata melalui pembacaan di internet, jiwa dan perasaan Zalina bertambah tenang dan dia mula berani untuk mengajak suaminya berbincang mengenai kesihatan dirinya dan juga perubahan yang perlu dilakukan bersama untuk memastikan kerukunan rumah tangga kekal bahagia. 

Perubahan hormon pengaruhi emosi 

KEHAMILAN adalah masa di mana pasangan terutama yang baru membina rumah tangga berdepan cabaran bersama dalam hubungan. 

Agak lazim bagi pasangan yang bakal bergelar ibu bapa berhadapan banyak keresahan. Oleh itu, mereka berhadapan berbagai-bagai jenis emosi.

Perunding Psikiatri dan Hipnoterapi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal menjelaskan, emosi berubah-ubah kerana apabila ibu hamil dan melalu peringkat kehamilan, seseorang itu perlu membuat banyak penyesuaian, termasuk perubahan dalam hubungan sebagai suami isteri kerana aktiviti yang dilakukan bersama, tidak lagi sama ketika masih bercinta dan baru berkahwin. 

“Keresahan juga disebabkan perasaan takut kehilangan bayi, takut bertambah gemuk dan tidak menarik lagi.
Malah pada trimester ketiga kehamilan adalah masa berlakunya banyak perubahan fizikal. Keresahan ketika itu banyak berkaitan dengan debaran menanti waktu melahirkan anak. Walaupun sudah beberapa kali bersalin, ibu mungkin dihantui pengalaman lalu yang trauma,” katanya kepada Sihat.

Perubahan emosi selepas bersalin (Postnatal blues) biasanya bermula beberapa hari selepas melahirkan. Jika ia membabitkan keadaan fisiologikal, biasanya keadaan itu hanya berlarutan sehingga 10 hari. Antara 80 hingga 90 peratus ibu akan berdepan sedikit gangguan emosi yang masih di bawah kawalan. 

Keadaan ini disebabkan oleh hormon wanita yang naik mendadak. Sebaik saja melahirkan, hormon itu terus jatuh menjunam. Dalam masa sama, hormon prolaktin (untuk menghasilkan susu) pula akan keluar. 

Biasanya perubahan emosi selepas bersalin ini tidak perlukan rawatan tertentu. Apa yang perlu adalah kasih sayang, sokongan dan perhatian tidak berbelah bagi suami, keluarga dan rakan-rakan.

Kalau berlarutan sehingga dua minggu, gejala kemurungan mula jelas kelihatan. Ia dipanggil tekanan selepas melahirkan (post partum depression). Ia boleh menjadi lebih serius apabila ibu seolah-olah tidak menunjukkan minat pada bayi, ada perasaan negatif terhadap bayi dan paling membimbangkan mencederakan bayi, selain mengabaikan dirinya, hilang minat, tidak rasa seronok, lesu dan tiada motivasi.

“Kadangkala, apabila gejala yang ditunjukkan tidak begitu serius, kita selalu lepas tangan dan anggap ia perkara biasa selepas bersalin. Kerana itu juga kami sentiasa menyarankan pakar obstetrik dan ginekologi untuk melakukan soal selidik ringkas dipanggil Edinburgh Postnatal Depression Scale (EPDS) sebelum pesakit dibenarkan pulang,” jelas Dr Daniel. 

Tambahnya, apabila pesakit mula rasa tidak berguna, ada perubahan dari segi selera, berat badan, tidur, mula terjaga awal dan fikiran sentiasa diasak mengenai kematian atau bunuh diri secara berulang, si ibu ini melalui satu keadaan yang semakin serius.

Psikosis selepas melahirkan (post partum psychosis) adalah lebih serius. Psikosis bermaksud seseorang yang sudah tidak rasional lagi. Keadaan ini bermula dengan mendadak iaitu dalam tempoh 48 jam atau dua minggu pertama selepas bersalin. 

Sebagai contoh, ibu mula mendengar bunyi suara yang orang lain tidak dengar atau halusinasi; mula terbayang sesuatu yang tiada alasan logik (delusi), idea yang tidak betul, paranoia akibat daripada anggapannya yang salah dan mula hendak mengamuk. 

Ketika ini kita perlu tanya ibu, apa perasaannya terhadap bayi. Jika katanya bayi ini menyusahkan atau mahu mencederakan bayi maka ibu perlu disaring, diasingkan daripada bayi dan diberikan bantuan perubatan segera. 

Antara faktor lain tekanan termasuk penurunan mendadak hormon tyroid; perubahan fizikal membuatkan ibu merasa terganggu lebih-lebih lagi dengan rasa sakit bersalin juga peningkatan berat badan hingga mengganggu emosi rasa rendah diri kerana kurang menarik dan menjaga bayi juga membebankan. 

Suami mesti peka

IBU yang baru bersalin perlukan rehat yang banyak. Sebaliknya, kebanyakan ibu sering dalam keadaan keletihan, terutama yang pertama kali berjaga malam kerana bayi meragam dan menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu. Sejarah keluarga yang pernah mengalami tekanan dan komplikasi perubatan juga antara faktor risiko yang perlu diambil perhatian. 

Tekanan pasca kehamilan memberi kesan negatif terhadap keupayaan ibu. Ini bukan bermaksud mereka adalah ibu yang tidak baik. Bagaimanapun apabila dilanda gejala tekanan seperti kelesuan, keresahan, tidak selesa, sikap acuh tak acuh dan mudah menangis agak sukar dan hampir mustahil untuk menjaga diri dan bayi dengan baik. 

Secara tidak langsung bayi juga akan mendapat kesannya. Biasanya bayi yang ibunya mengalami tekanan serius cenderung berhadapan masalah kelakuan seperti masalah tidur, baran, agresif dan hyper aktif. 

Amat penting bagi ibu untuk mengamalkan pengurusan diri yang baik, pastikan cukup tidur kerana ia membantu mengurangkan tekanan. Beri ruang untuk diri anda bertenang sambil memanjakan diri seperti pergi ke spa, berurut dan beriadah. 
Namun, semua ini tidak akan berjalan lancar tanpa peranan suami dan keluarga terdekat. Bagi suami pula, bersikap peka, dengar luahan hati isteri, tunjukkan rasa memahami anda dan jangan menilai jika mereka memerlukan bantuan kesihatan.



sumber

0 on: "Murung ketika hamil"